Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Malaysia akan terus berinteraksi secara progresif bersama Amerika Syarikat (AS), China, Kesatuan Eropah dan India susulan ketegangan tarif timbal balas yang dikenakan oleh AS dan gangguan perdagangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak wujud sebarang keraguan terhadap dasar luar negara yang berlandaskan prinsip aktif tidak berpihak yang dilihat sebagai pendekatan berprinsip bagi menjamin fleksibiliti strategik negara.
“Dasar ini direka untuk memaksimumkan keupayaan kita membuat keputusan secara bebas dan berinteraksi dengan semua pihak mengikut acuan serta kepentingan kita sendiri,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-38, hari ini.

Kata Anwar, sepanjang tempoh dua tahun lalu, Malaysia telah menjalinkan hubungan dengan rakan sehaluan di Selatan Global bagi merapatkan jurang wilayah, membina tekad bersama dan mempromosikan kemakmuran bersama.
“Pendekatan kita jelas, kerjasama yang pragmatik, selaras dan berorientasikan tindakan.
“Dalam semangat ini juga, kita telah menggiatkan usaha memperkukuh keterhubungan dan kerjasama antara wilayah.
“Ia bukan sahaja menjadi pemangkin kepada mobilisasi Selatan Global tetapi juga galakan kepada penyelarasan yang lebih kukuh dengan Utara Global,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan penyertaan Malaysia di dalam kumpulan BRICS yang kini melibatkan negara dari Timur Tengah, Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Selatan adalah lambang yang merapatkan jurang wilayah.
“Ini merupakan peluang untuk membina kerjasama baharu serta memperbaharui hubungan lama.
“Malaysia menantikan kerjasama sebagai negara rakan dan meneroka bidang kerjasama khusus,” kata beliau.
Tegas beliau juga, penglibatan negara-negara Asia Tenggara dalam kerangka BRICS tidak seharusnya dilihat sebagai usaha menjauhi kuasa barat.
Sebaliknya, Anwar menjelaskan langkah tersebut merupakan manifestasi kepada keupayaan membuat keputusan secara bebas, menghormati autonomi negara, serta kepercayaan terhadap kerjasama berterusan dalam menangani cabaran global secara bersama.
“Ini bukan soal berpihak, tetapi soal menjunjung prinsip agensi dan kerjasama yang mampan demi masa depan bersama,” ujarnya.
Baca juga:







