Konsert Legasi P. Ramlee Hidupkan Kembali Warisan Seni Negara

LEGENDA seni negara, allahyarham Tan Sri P. Ramlee bakal diabadikan semula dalam ingatan kolektif rakyat menerusi Konsert Legasi P. Ramlee yang dijadual berlangsung pada 20 September 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh TanahAir Films Sdn. Bhd., syarikat produksi terbitan Datuk Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie.

Konsert ini merupakan sebahagian daripada Projek Perdana P. Ramlee, satu inisiatif untuk mengangkat semula khazanah seni tanah air agar terus segar dan bermakna kepada generasi kini.

Menampilkan gabungan elemen klasik, kontemporari dan teatrikal, persembahan ini membawa khalayak menyusuri lebih 30 karya agung P. Ramlee dalam bentuk susunan muzik baharu tanpa mengorbankan nilai keaslian karya asal.

Barisan penyanyi unggul negara bakal menghiasi pentas termasuk Datuk Jamal Abdillah, Ella, Liza Hanim, MimiFly, Nadeera dan Datuk Zainal Abidin.

Mereka akan diiringi oleh 60 pemuzik orkestra di bawah pimpinan empat maestro ternama iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen.

Turut mencuri tumpuan ialah persembahan khas daripada P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee, di mana tiga impersonator tersohor yang akan menghidupkan semula persona dan suara ikonik allahyarham di pentas.

“Konsert ini bukan sekadar persembahan hiburan tetapi satu bentuk penghormatan dan jambatan yang menyatukan generasi,” kata Datuk Khairul Anwar.

Beliau menjelaskan bahawa TanahAir Films ditubuhkan bukan hanya untuk menghasilkan kandungan kreatif tetapi juga untuk memperkenalkan semula nilai seni dan budaya kepada masyarakat hari ini.

“Nama Tan Sri P. Ramlee adalah simbol yang menyatukan kita semua, warisannya tidak seharusnya hanya dikenang tetapi perlu terus hidup dalam bentuk yang segar dan relevan,” katanya.

Konsert ini merupakan kesinambungan kejayaan Podcast Legasi yang kini menyambut ulang tahunnya yang pertama sejak pelancarannya pada September tahun lalu.

Projek ini turut mendapat dukungan pelbagai institusi penting termasuk Arkib Negara Malaysia, FINAS, Kementerian Komunikasi, Kementerian Perpaduan Negara, MOTAC dan penaja utama lain.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket konsert melalui www.ticket2u.com.my bermula 27 Jun 2025.

Untuk info terkini, ikuti akaun rasmi @konsertlegasipramlee dan @TanahAirFilms di media sosial.

Anda Mungkin Berminat