KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa pelaksanaan dasar percukaian negara akan terus berpaksikan prinsip keadilan sosial dan tidak akan membebankan rakyat terbanyak.
Sebalik katanya, ianya akan dimanfaatkan semula untuk kesejahteraan mereka.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Malaysia kini mencatatkan antara nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) paling rendah di dunia, iaitu sekitar 12 peratus.
“Ini bermakna ruang penjanaan hasil masih sempit dan peluasan cukai diperlukan demi memastikan keberlanjutan fiskal negara,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Namun begitu, beliau berkata, keutamaan kerajaan kekal jelas iaitu menjaga kebajikan rakyat dan memastikan tiada beban berlebihan dikenakan ke atas golongan majoriti.
“Beban tidak akan ditanggung oleh rakyat terbanyak. Hasil cukai digunakan semula untuk program yang pro-rakyat,” jelasnya.
Antara inisiatif utama yang dibiayai melalui kutipan cukai termasuk peruntukan RM13 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memberi manfaat kepada lebih sembilan juta penerima.
Katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM400 juta untuk membaik pulih klinik usang dan RM600 juta bagi pembaikan tandas di lebih 8,000 sekolah yang memanfaatkan lebih lima juta pelajar di seluruh negara.
“Ini bukti bahawa kutipan cukai tidak sia-sia, malah dipulangkan semula dalam bentuk kemudahan asas dan bantuan langsung kepada rakyat,” tambahnya.
Sebagai langkah penyelarasan dasar fiskal negara, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan bermula secara rasmi pada 1 Julai 2025.