AMANAH Minta MAIS Mohon Semak Semula Kes Sisters In Islam

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKP) menyatakan pendirian rasmi menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memfailkan Permohonan Semakan (review) terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa fatwa terhadap pertubuhan Sisters in Islam (SIS) adalah tidak terpakai.

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Khamis yang membatalkan fatwa berkenaan dinilai oleh AMANAH sebagai menimbulkan implikasi serius terhadap kuasa pihak berkuasa agama Islam negeri, khususnya dalam menangani penyelewengan akidah oleh organisasi yang beroperasi atas nama pertubuhan berdaftar.

Menurut Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil, AMANAH berpandangan bahawa keputusan majoriti yang dibuat dalam kes ini termasuk terdapat penghakiman minoriti (dissenting judgment) di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan – memberikan asas perundangan yang munasabah untuk satu semakan kehakiman difailkan semula.

Dalam kenyataan yang sama, AMANAH turut mencadangkan agar satu jawatankuasa khas peringkat persekutuan dan negeri ditubuhkan, dengan penyertaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pihak berkuasa agama negeri untuk mengkaji implikasi undang-undang keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

AMANAH juga mengusulkan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memperjelaskan dan memperluas kuasa pihak berkuasa agama Islam supaya terpakai bukan sahaja terhadap individu Muslim tetapi juga kepada entiti berperundangan seperti persatuan dan syarikat (legal/artificial persons).

Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan bahawa fatwa bertarikh 31 Julai 2014 yang menyatakan SIS sebagai sesat, adalah tidak sah dan tidak terpakai kepada organisasi berkenaan yang didaftarkan sebagai syarikat.

Anda Mungkin Berminat