ROUND 2025: Eratkan Malaysia-Korea menerusi muzik dan budaya

Oleh: Tyah Helmi

HUBUNGAN erat antara Malaysia akan terus diperkukuh menerusi penganjuran Festival Muzik, ASEAN-Korea (Round) 2025 yang dilancarkan secara rasmi pada Jumaat di MATIC, Kuala Lumpur.

Dengan berteraskan tema ‘Come Around, Here To Shine’ festival selama dua hari itu menjadi simbol kesepaduan budaya antara dua negara serta jalinan kerjasama yang erat antara rakyat ASEAN dan Korea menerusi bahasa universal iaitu muzik.

Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Khairul Firdaus menyifatkan festival itu sebagai komitmen Malaysia dalam memperkukuh diplomasi budaya serantau yang selaras dengan peranan negara selaku Pengerusi ASEAN 2025 serta kerangka kerajaan Madani yang menekankan nilai keterangkuman, kelestarian dan saling hormat menghormati.

“Melalui Festival Muzik ASEAN-Korea, kita membuka ruang kepada pertukaran budaya yang lebih mendalam, memperkukuh hubungan rakyat dan mewujudkan keharmonian serantau.

“Malaysia melihat budaya dan kreativiti sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan perpaduan masyarakat,” katanya dalam ucapan perasmian.

Untuk rekod, Festival Round 2025 itu merupakan penganjuran secara bersama oleh syarikat penyiaran televisyen Korea (KBS) dan MOTAC disertai dengan kehadiran artis-artis ternama dari ASEAN dan Korea yang tampil dengan persembahan yang menonjolkan kepelbagaian muzik serta warisan budaya serantau.

Pada masa yang sama, Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-Bae menyifatkan penganjuran Round 25 sebagai bukti kukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Korea sebagai tuan rumah APEC tahun ini merupakan peluang penting untuk melonjakkan kerjasama ke tahap lebih tinggi. Melalui muzik, kita dapat mengukuhkan lagi persahabatan yang telah terjalin lebih enam dekad,” ujar beliau.

Festival yang penuh temasya itu bukan sahaja menonjolkan potensi besar dalam pertukaran budaya serantau, malah turut menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 atau ‘Visit Malaysia 2026’ yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan pusat konvergensi seni.

“MOTAC akan terus memanfaatkan kekuatan budaya sebagai pemangkin pelancongan mampan, pembangunan sosioekonomi dan kerjasama antarabangsa.

“Acara ini juga menjadi landasan kepada kempen Visit Malaysia 2026, yang menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pertemuan budaya dan inovasi seni.

“Inisiatif ini amat selari dengan kerangka Malaysia MADANI, yang bertujuan memperkasa negara melalui perpaduan dalam kepelbagaian, pengupayaan budaya dan kerjasama global,” kata MOTAC.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat