Isu Fatwa SIS: Agensi Agama JPM Capai Kesepakatan Positif – Dr Zulkifli

KOTA BHARU: Mesyuarat yang melibatkan semua agensi dan institusi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung fatwa terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia telah mencapai kesepakatan positif.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, perbincangan dalam mesyuarat tersebut telah dilakukan secara menyeluruh, namun kandungan terperinci tidak dapat didedahkan buat masa ini.

“Perkara itu sudah dibincangkan secara menyeluruh dan hasilnya positif.

“Tapi untuk kenyataan rasmi, rujuk kepada Pejabat Menteri. Saya tidak boleh keluarkan kenyataan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Bicara Qiadi sempena Nadwah Kepimpinan Kebangsaan 2025 anjuran Sektor Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan, malam tadi.

Kenyataan itu menyusul beberapa hari selepas keputusan Mahkamah Persekutuan pada Khamis lalu yang memutuskan bahawa fatwa mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh dikenakan terhadap SIS Forum Malaysia.

Memandangkan ia hanya terpakai kepada individu beragama Islam, bukan pertubuhan atau entiti korporat.

Keputusan itu sekali gus membenarkan rayuan oleh SIS Forum Malaysia dan pengasasnya, Datin Paduka Zainah Mahfoozah Anwar terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sejak tahun 2014.

Mahkamah tertinggi negara turut berkata, istilah “orang yang menganut agama Islam” dalam fatwa berkenaan hanya merujuk kepada individu, bukannya syarikat atau organisasi.

Anda Mungkin Berminat