Pakar Penyakit Berjangkit, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2023 pada Majlis Anugerah Akademik Negara Ke-15 (AAN15) di ibu negara pada Selasa.
Penganugerahan itu sekali gus melayakkan beliau menerima sebuah trofi, sijil dan wang tunai RM200,000 yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dr Adeeba adalah pelopor kepada program pengawalan penyakit berjangkit di negara ini dan merupakan rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Global berkaitan Polisi Dadah di peringkat antarabangsa.
“Saya rasa amat bertuah, bukan sahaja dapat berbakti dari segi akademik, tetapi juga memberi perawatan kepada pesakit-pesakit.
“Ini adalah satu anugerah daripada Allah yang (saya) dapat menyumbangkan tanggungjawab, dan pengiktirafan ini sudah tentu sangat bermakna,” katanya.
Dr Adeeba bertanggungjawab menubuhkan Unit Penyakit Berjangkit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada tahun 1996 serta Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dalam AIDS (CERiA) di Universiti Malaya pada tahun 2008.
Hasil kepimpinan dan sumbangannya, CERiA telah menjadi satu daripada pusat rujukan HIV/AIDS terkemuka di negara ini.
Baca juga: