KUALA TERENGGANU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Terengganu hari ini menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap akhbar Sinar Harian berikutan laporan yang didakwa berunsur fitnah terhadap Ketua Polis Negara baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Dalam kenyataan, cabang berkenaan menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Mohd Khalid merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan berniat jahat.
Menurut mereka, penyiaran maklumat tidak sahih oleh media berkenaan bukan sahaja menjejaskan reputasi Ketua Polis Negara tetapi turut mencemarkan imej parti dan kerajaan.
“Perbuatan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia mencetus persepsi palsu bahawa pelantikan Mohd Khalid berasaskan kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan.
PKR Cabang Kuala Terengganu turut mendesak agar siasatan dilakukan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan (fitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, atas alasan laporan berkenaan disebarkan secara meluas di media sosial dengan unsur niat jahat.
Cabang itu menjelaskan bahawa laporan tersebut memenuhi empat elemen fitnah iaitu penerbitan kenyataan, sasaran terhadap mangsa, penyebaran kepada umum serta niat untuk mencemar reputasi.
Tambah mereka lagi, penyebaran maklumat tidak sahih itu telah mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan rakyat termasuk pihak pembangkang yang menyalahgunakan isu tersebut untuk menyerang kerajaan serta institusi Diraja.
“Kami kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini.
“Penyebaran berita palsu seperti ini memburukkan imej KEADILAN (PKR) dan memberi tanggapan buruk terhadap Perdana Menteri,” tegas kenyataan itu.