Kes Pedofilia: Nurul Izzah Gesa Pemantauan Perlindungan Digital Lebih Telus

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menggesa agar sistem perlindungan digital kanak-kanak diperkukuh menerusi pemantauan yang lebih telus serta terbuka kepada orang ramai.

Beliau turut mencadangkan agar akses kepada Daftar Pesalah Seksual Kanak-Kanak yang diwujudkan sejak 2019 dipermudahkan bagi tujuan keselamatan awam dan bukan untuk mengaibkan tetapi sebagai langkah pencegahan dalam komuniti.

“Kementerian Komunikasi dan SKMM perlu membentangkan satu mekanisme pemantauan yang jelas untuk menilai keberkesanan sistem perlindungan digital bagi kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pendedahan baru-baru ini mengenai kewujudan kumpulan Facebook (Meta) yang memaparkan kandungan seksual membabitkan murid sekolah rendah membuktikan jenayah siber terhadap kanak-kanak kini semakin membimbangkan.

Walaupun tindakan pantas telah diambil untuk menutup kumpulan tersebut, beliau menegaskan bahawa pendekatan lebih menyeluruh diperlukan termasuk pembentangan laporan terbuka oleh PDRM, SKMM dan KPWKM.

“Ini bukan lagi masa untuk kita menjadi pemerhati pasif.

“Tiba masanya kita tampil sebagai pelindung, tegas, bertanggungjawab dan menyentuh akar masalah,” tegas beliau.

Statistik rasmi tahun 2023 menunjukkan peningkatan mendadak dalam kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak sebanyak 26.5 peratus, manakala kes pornografi kanak-kanak melonjak 139.3 peratus.

Sebagai respons, Nurul Izzah berkata, PKR merancang melancarkan satu kempen akar umbi secara besar-besaran bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya eksploitasi seksual kanak-kanak.

Menurutnya lagi, kempen itu akan dilaksanakan dengan kerjasama NGO, komuniti setempat dan institusi pendidikan di seluruh negara.

Anda Mungkin Berminat