PETALING JAYA: Tan Sri Dr Azmi Rohani secara rasmi dilantik sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara, berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Pelantikan itu diumumkan menerusi satu hantaran di Facebook oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut Shamsul Azri, pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki Azmi Rohani diyakini mampu memperkukuh tadbir urus di Istana Negara.
“Saya percaya dengan pengalaman yang luas dan kredibiliti beliau akan dapat memperkukuhkan pentadbiran di Istana Negara serta memainkan peranan sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja dalam membantu dan menjunjung wewenang Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara,” katanya.
Berpengalaman 33 tahun dalam perkhidmatan awam, Azmi memulakan kerjayanya sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah Muar pada tahun 1992.
Sebelum pelantikan terkininya, beliau memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor sejak 1 Januari 2017.
Azmi, 59, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan (Ekonomi dan Pengurusan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Sains (Pembangunan Sumber Manusia) serta Doktor Falsafah (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).