PUTRAJAYA: Kerajaan terus memperkukuh komitmen terhadap transformasi digital dan pembangunan ekonomi hijau menerusi Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 3/2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi tadi.
Mesyuarat penting itu menjadi medan bagi menilai pencapaian semasa inisiatif digital negara serta merangka hala tuju baharu dalam mendepani cabaran masa depan yang lebih mampan dan berteknologi tinggi.
Antara yang dibentangkan adalah pelaksanaan GovTech Malaysia termasuk pengenalan aplikasi MyGOV Malaysia yang berperanan sebagai gerbang digital tunggal kerajaan.
Aplikasi ini membolehkan rakyat mengakses perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan secara dalam talian tanpa keperluan hadir ke kaunter.
“Langkah ini membuktikan kesungguhan Kerajaan untuk menyampaikan perkhidmatan secara lebih mudah, cekap dan telus kepada rakyat,” kata Perdana Menteri.
Mesyuarat turut bersetuju untuk mengangkat pelaksanaan Transitioning Industrial Clusters (TIC) sebagai agenda nasional.
Inisiatif ini menyatukan kerjasama antara syarikat dan institusi awam untuk merangsang pertumbuhan ekonomi hijau, menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengurangkan pelepasan karbon.
Dalam sesi tersebut, Anwar turut memuji hasrat Sarawak membangunkan TIC di Bintulu yang dijangka menyumbang RM12 bilion kepada KDNK, mewujudkan 19,000 pekerjaan baharu dan mengurangkan 21.35 juta tan pelepasan karbon menjelang 2040.
“Usaha ini sejajar dengan aspirasi negeri ke arah karbon sifar serta mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju industri hijau negara,” jelas beliau.
Perdana Menteri turut menegaskan kepentingan peluasan MyDigital ID ke sektor swasta.
Ini bagi membina ekosistem digital negara yang selamat, menyeluruh dan dipercayai, bukan sahaja untuk urusan kerajaan tetapi juga bagi kehidupan harian dan perniagaan masa depan.
MED4IRN berperanan sebagai platform tertinggi negara dalam menyelaras hala tuju dasar digital selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.