PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menerima teguran daripada Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berikutan dakwaan tidak tepat mengenai kadar bil elektrik yang dikhuatiri boleh mengelirukan rakyat.
Dalam satu kenyataan, hari ini, Akmal menyatakan rasa kecewa terhadap anggaran yang dibuat oleh Fadhli dan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan berpotensi menyebarkan maklumat tidak tepat.
“Tidak logik untuk Pak Ali yang menggunakan 1,800 kWh hanya dicaj RM480.
“Berdasarkan tarif sedia ada, penggunaan tersebut sebenarnya akan dikenakan bayaran sekitar RM1,167.87,” katanya.
Menurut beliau, dakwaan tersebut menunjukkan seolah-olah Ahli Parlimen Pasir Mas tidak pernah membayar bil elektrik, justeru disarankan agar tidak lagi membuat anggaran bagi pihak orang ramai.
Akmal menjelaskan bahawa pengiraan bil elektrik bukan sekadar berdasarkan kadar penggunaan tetapi turut mengambil kira pelbagai faktor termasuk penyesuaian automatik bahan api (Automatic Fuel Adjustment – AFA) yang merangkumi kos bahan api semasa dan kadar tukaran asing secara masa nyata.
Beliau turut memaklumkan bahawa bermula 1 Julai ini, sistem tarif baharu akan diperkenalkan bagi menggantikan mekanisme lama yang hanya disemak setiap enam bulan menerusi Ketidakseimbangan Pelepasan Kos (ICPT).
“Kaedah baharu ini mencerminkan kos sebenar yang ditanggung pengguna dan lebih tepat berbanding pendekatan sebelumnya yang bersifat anggaran,” katanya.
Tambahnya, pengguna dengan penggunaan bulanan bawah 600 kWh akan dikecualikan daripada caj runcit dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus.
Sementara itu, pengguna yang menggunakan kurang daripada 1,000 kWh akan menikmati rebat insentif kecekapan tenaga.
Sebagai perbandingan, katanya, penggunaan sebanyak 600 kWh dijangka menghasilkan bil sekitar RM216 berdasarkan tarif baharu, di mana lebih rendah daripada RM223.50 di bawah kadar semasa.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, sistem baharu itu mampu memberi perlindungan kepada hampir 85 peratus pengguna, selagi penggunaan elektrik kekal konsisten.
Dalam masa terdekat, katanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melancarkan kalkulator simulasi bagi membantu pengguna membuat pengiraan anggaran bil elektrik berdasarkan struktur tarif baharu.
“Saya menyeru agar rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah atau maklumat mengelirukan daripada pihak pembangkang.
“Sebaliknya, rujuk kepada alat simulasi rasmi dan amalkan penggunaan tenaga secara berhemah,” katanya.