Iran akan henti serangan jika Israel berhenti

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa satu “gencatan senjata penuh dan menyeluruh” antara Iran dan Israel akan berkuat kuasa dalam beberapa jam akan datang.

Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi diterima daripada kedua-dua negara.

Memetik BBC pada Selasa, Iran menyatakan bahawa jika Israel menghentikan serangannya, maka Iran juga akan menghentikan tindak balasnya. Israel masih belum memberikan sebarang komen.

Tehran telah diserang hebat sehingga jam 4:00 pagi waktu tempatan – waktu akhir yang diberikan oleh Iran kepada Israel untuk menghentikan serangannya.

Terdahulu, Iran melancarkan peluru berpandu ke arah sebuah pangkalan udara AS di Qatar sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas tapak nuklearnya pada hari Sabtu.

Trump berkata tiada korban jiwa dalam kalangan tentera AS atau Qatar, menyifatkan tindak balas Iran sebagai “amat lemah” dan berterima kasih kepada Iran kerana memberikan “notis awal”.

Qatar pula memaklumkan bahawa kesemua peluru berpandu yang menyasarkan Pangkalan Al Udeid yang dikendalikan AS telah dipintas, dan menyifatkan serangan itu sebagai satu “pelanggaran nyata”.

Tindakan balas Iran ini berlaku dua hari selepas AS melancarkan serangan besar-besaran ke atas tiga fasiliti nuklear di dalam wilayah Iran.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat