Waran tangkap terhadap pemilik syarikat lori terlibat nahas maut FRU

PETALING JAYA: Satu waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini terhadap pemilik syarikat mengendalikan lori membawa batu kerikil yang terlibat dalam kemalangan tragik dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Mei lalu.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas pemilik syarikat terbabit gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan, membuat permohonan tersebut kepada Majistret Naidatul Athirah Azman, yang kemudian menetapkan 29 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula bagi waran tangkap itu, memetik Harian Metro.

Difahamkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan notis saman kepada pemilik syarikat tersebut sehari sebelum prosiding mahkamah.

Pemilik syarikat sepatutnya didakwa mengikut Seksyen 57 dan Seksyen 58 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, yang berkaitan kesalahan membawa muatan melebihi had yang ditetapkan serta tidak mematuhi syarat lesen pengendali.

Sebelum ini, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan pada 30 Mei mengumumkan pembatalan lesen pengendali syarikat lori tersebut, Tashveen Trading, berkuat kuasa 29 Mei 2025.

Pembatalan itu sekali gus melarang syarikat berkenaan daripada menjalankan sebarang perkhidmatan pengangkutan menggunakan kenderaan berlesen di bawah lesen berkenaan.

Siasatan mendapati syarikat tersebut gagal mematuhi Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP), tidak memastikan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) kenderaan berfungsi serta membawa muatan yang menyalahi permit yang dikeluarkan.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.50 pagi, 13 Mei lalu di Jalan Sungai Lampam, Simpang Tangki Air, Langkap, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota Unit 5 dari Sungai Senam, Ipoh, bertembung dengan lori membawa batu kerikil. Kemalangan itu mengakibatkan sembilan anggota maut, dua parah dan tujuh lagi cedera.

Susulan insiden itu, pemandu lori terbabit, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada 16 Mei atas sembilan pertuduhan berkaitan kematian anggota FRU terbabit.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat