MCMC Perkenal Dua Biasiswa Baharu, Bangun Bakat Digital Negara

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mengorak langkah dalam memperkukuh ekosistem bakat digital negara dengan memperkenalkan dua program biasiswa baharu iaitu Biasiswa MCMC LEGASI dan Biasiswa MCMC CARE.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, ianya ditawarkan buat pertama kali, kedua-dua program itu menyasarkan generasi muda yang berpotensi tinggi untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan sektor komunikasi dan multimedia yang kian pesat di Malaysia.

“Inisiatif penting ini mencerminkan komitmen MCMC dalam membangunkan rantaian bakat yang bersedia untuk menghadapi masa depan, sekali gus berkhidmat dalam sektor komunikasi dan multimedia negara,” menurut MCMC.

Katanya, biasiswa MCMC LEGASI memberi fokus kepada pelajar cemerlang dalam dan luar negara yang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang berkaitan.

Sementara itu, MCMC berkata, biasiswa MCMC CARE disasarkan kepada pelajar daripada komuniti kurang berkemampuan yang menuntut di universiti awam tempatan.

Tambahnya, antara manfaat yang ditawarkan termasuk pembiayaan penuh yuran pengajian dan sara hidup, selain peluang menjalani latihan industri serta pendedahan kepada aspek pembangunan peraturan, keselamatan rangkaian dan inovasi dasar.

“Selain pembiayaan penuh bagi yuran pengajian dan sara hidup, penerima turut ditawarkan latihan industri serta pendedahan kepada bidang pembangunan peraturan, keselamatan rangkaian dan inovasi dasar,” jelas kenyataan itu.

MCMC juga menegaskan bahawa kedua-dua program ini berlandaskan pendekatan merit dan keperluan dengan matlamat memperkasa generasi muda melalui peluang pendidikan berkualiti.

“Melalui peluang ini, MCMC membantu golongan belia menyumbang secara bermakna dan membina masa depan dalam bidang komunikasi dan multimedia,” kata MCMC.

Permohonan kini dibuka sehingga 24 Julai 2025, dan pemohon yang berjaya akan dihubungi pada bulan Ogos.

Maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan dan cara permohonan boleh diperoleh menerusi laman rasmi MCMC di: https://mcmc.gov.my/academy/en/scholarships-1.

Anda Mungkin Berminat