KUALA PERAK: Dua nelayan warga Indonesia yang hanyut di laut selama tiga hari akibat kerosakan enjin bot akhirnya diselamatkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu misi kemanusiaan berhampiran Pulau Jarak, 39 batu nautika (72km) dari Kuala Perak.
Kedua-dua individu, berumur 23 dan 25 tahun itu merupakan awak-awak bot dari Tanjung Balai, Indonesia yang memulakan ekspedisi menangkap ikan sejak 19 Jun lalu.
Namun pada pagi Sabtu, 21 Jun, bot mereka mengalami kerosakan enjin, menyebabkan ia hanyut di tengah laut dan hanya dikendalikan secara manual ketika laut bergelora.
Pada tengah malam Selasa, mereka berjaya menghampiri perairan Pulau Jarak sebelum diselamatkan oleh kru Stesen Jarak TLDM.
“Atas dasar kemanusiaan, selain memberi bantuan, perlindungan sementara, kru Stesen Jarak TLDM turut membekalkan nelayan berkenaan dengan bekalan makanan dan bantuan asas lain.
“Bot yang mengalami kerosakan enjin juga telah dapat dibaiki dengan bantuan kru Stesen Jarak TLDM,” menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat.
Maklumat insiden telah disalurkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak untuk tindakan lanjut manakala bot nelayan yang telah dibaiki akan diiringi keluar dari perairan negara oleh KM MALAWALI.
TLDM dalam kenyataan sama menegaskan komitmen mereka untuk melindungi keselamatan dan kebajikan komuniti maritim di perairan negara tanpa mengira latar belakang atau kewarganegaraan.
“Sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kedaulatan perairan negara, TLDM sentiasa peka terhadap aspek keselamatan dan kebajikan komuniti maritim di Malaysia.
“Bantuan akan dihulurkan kepada pihak yang memerlukan tanpa mengira kewarganegaraan selari dengan undang-undang dan konvensyen antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
TLDM turut menasihatkan komuniti maritim agar memastikan vesel mereka berada dalam keadaan baik sebelum turun ke laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.