KUANTAN: Atas semangat prihatin dan tanggungjawab sosial, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menziarahi Mohamad, seorang bapa kepada tujuh cahaya mata yang sedang menempuh dugaan hidup yang amat berat di Kampung Sungai Karang Darat.
Mohamad, yang sebelum ini menyara keluarganya secara berdikari, kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan selepas kehilangan sebelah kaki akibat komplikasi kencing manis kronik.
Menurut hantaran di Facebook Ahmad Farhan, keadaannya yang turut dibebani dengan masalah jantung, buah pinggang dan darah tinggi menjadikan beliau tidak lagi berdaya untuk bekerja.
“Hari-hari yang dilalui hanya bersandar pada ihsan bantuan kerajaan untuk terus bertahan.
“Rumah yang didiami pula disewa dan perbelanjaan dapur menjadi beban harian yang sukar ditanggung,” jelas Ahmad Farhan ketika menyampaikan kunjungan tersebut.
Beliau hadir mewakili Perdana Menteri bagi menyampaikan sumbangan dan menyelami sendiri cabaran yang dihadapi oleh keluarga berkenaan.
“Saya hadir mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan sumbangan kasih serta mendengar sendiri kisah getir yang dilaluinya,” katanya.
Tambahnya lagi, bantuan susulan sedang diteliti bagi meringankan beban keluarga Mohamad.
“Insya-Allah, kami sedang meneliti bantuan yang boleh disegerakan, termasuk yang menjadi keperluan beliau,” ujarnya.