Dr Zambry Tekankan Jati Diri Mahasiswa, Komitmen Selesai Krisis Air UMS

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 mahasiswa dan pemimpin pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi di Sabah termasuk UMS, UiTM, MSU, IPG dan Politeknik membanjiri Program In Person With DocZam yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), bersempena Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).

Menampilkan kelainan daripada segi pendekatan dan penyertaan, sesi yang dikendalikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, menjadi medan refleksi dan dorongan apabila beliau berkongsi kisah hidup peribadi daripada anak nelayan kepada pemimpin nasional.

“Saya mahu mahasiswa menyedari bahawa setiap kejayaan itu dibina di atas kesungguhan, kecekalan dan prinsip hidup yang utuh.

“Insya-Allah tiada yang mustahil,” ujar beliau.

Membawa tema Bina Jiwa, Bina Bangsa, beliau menekankan bahawa bangsa yang hebat lahir daripada insan yang kukuh jati dirinya.

Menurutnya, mahasiswa bukan sekadar pelajar tetapi bakal pemimpin masa depan yang harus bersedia memikul amanah negara.

Namun, pada masa yang sama, antara momen paling signifikan adalah penegasan beliau berhubung isu bekalan air yang membelenggu warga UMS.

“Saya maklum akan kesukaran yang dihadapi dan saya ingin tegaskan bahawa pihak kementerian sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta Kerajaan Negeri Sabah bagi mencari penyelesaian.

“Isu ini telah saya angkat sendiri kepada pihak berkaitan agar kebajikan mahasiswa diutamakan,” tambahnya.

Turut dibentangkan adalah Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035 yang dirangka komprehensif merangkumi kurikulum, kokurikulum dan sahsiah pelajar sejajar dengan keperluan semasa dunia akademik dan teknologi.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry turut menyentuh isu demonstrasi dan insiden membakar karikatur Perdana Menteri yang dikaitkan dengan sekumpulan mahasiswa Sabah.

Beliau menyampaikan mesej langsung daripada Perdana Menteri terkait isu berkenaan.

“Jangan sampai mereka ini dibuang daripada universiti. Biar mereka habiskan pengajian mereka.

“Berikan ruang kepada mereka untuk memperbetulkannya dan pastikan mereka dapat menamatkan pengajian dengan baik,” katanya.

Pesanan itu jelas mencerminkan pendekatan MADANI yang menekankan nilai ihsan, pendidikan dan masa depan anak muda.

Anda Mungkin Berminat