Oleh: Tyah Helmi
PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil dengan penuh harapan menjelang keputusan penting rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini, dengan doa agar kebenaran akhirnya berpihak kepadanya selepas lima tahun melalui proses perundangan yang mencabar.
Menerusi sidang media pagi ini, beliau meluahkan rasa syukur atas sokongan berterusan daripada keluarga, rakan-rakan dan penyokong yang tidak pernah putus memberi dorongan.
“Cuma harapan saya pada hari ini, selepas lima tahun nanti, saya hanya berdoa supaya kebenaran.
“Menang saya dapat membersihkan nama saya seperti yang saya janjikan iaitu melalui platform,” katanya.
Keputusan rayuan itu akan ditentukan oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Dalam nada sebak, Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan mendalam kepada keluarganya yang menjadi sumber kekuatan sepanjang tempoh mencabar ini.
“Saya terhutang budi khususnya kepada ibu bapa dan keluarga yang sentiasa memberikan dukungan dan dorongan kepada rakyat-rakyat pemimpinan dan sahabat-sahabat yang datang daripada jauh,” ujarnya.
Rayuan ini berkait sabitan dan hukuman terhadap empat pertuduhan termasuk pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).