INDONESIA: Seorang pelancong muda dari Brazil, Juliana Marins, 26, ditemui meninggal dunia selepas terjatuh kira-kira 600 meter dari tebing Gunung Rinjani, sebuah gunung berapi aktif di Pulau Lombok, Indonesia.
Menurut kenyataan rasmi kerajaan Brazil, Marins telah terperangkap selama hampir empat hari sebelum mayatnya ditemui oleh pasukan penyelamat Indonesia menggunakan dron berhampiran kawah gunung.
“Mangsa disahkan telah meninggal dunia,” kata Mohammad Syafii, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Indonesia.
Marins memulakan pendakian pada 21 Jun bersama seorang pemandu tempatan dan lima pelancong asing lain.
Gunung Rinjani, setinggi 3,726 meter, terkenal dalam kalangan pendaki tetapi turut mencabar dengan bentuk muka bumi yang ekstrem dan cuaca yang tidak menentu.
Pasukan penyelamat menghadapi kesukaran besar dalam usaha membawa keluar mayat mangsa akibat kabus tebal dan laluan curam.
Menurut Syafii, mayat Marins terpaksa dibawa turun secara mendaki ke kem pangkalan Sembalun dan hanya boleh dihantar ke hospital keesokan harinya.
Kementerian Luar Brazil menyifatkan insiden ini sebagai satu tragedi besar dan memaklumkan bahawa kedutaan Brazil di Jakarta telah menyelaras usaha menyelamat bersama pihak berkuasa tempatan.
Kisah penderitaan Marins telah menyentuh hati rakyat Brazil yang mengikuti perkembangan usaha menyelamat dengan penuh harapan.
Dalam satu hantaran di Instagram, keluarganya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Brazil atas doa dan sokongan yang tidak putus-putus.
Marins, seorang penari dari Niterói, Rio de Janeiro, telah mengembara ke seluruh Asia sejak Februari lalu termasuk ke Filipina, Vietnam dan Thailand sebelum tiba di Indonesia.
Namun, insiden ini turut mencetuskan kekecohan diplomatik apabila kedutaan Brazil di Jakarta mendakwa pihak berkuasa Indonesia memberikan maklumat palsu kepada keluarga mangsa.
Mereka mendakwa diberitahu bahawa Marins telah ditemui dan diberi makanan serta air hanya beberapa jam selepas terjatuh dan maklumat yang kemudian disahkan tidak benar.