PETALING JAYA: Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tampil menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan respons pantas daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susulan kritikan terbuka oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli terhadap prestasi dasar kementerian itu.
Dalam satu kenyataan, Dr Maszlee menyifatkan tindakan membiarkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjawab kritikan secara bersendirian sebagai tidak wajar dan melemahkan semangat kerja berpasukan dalam pentadbiran.
“Sepatutnya kurang 24 jam dari podcast Yang Berhenti Menteri Rafizi di mana beliau menyindir KPM, semua pihak ini telah bangkit tangkas menjawab dan bukannya membiarkan Menteri (Fadhlina) menjadi hentaman awam berdasarkan kritikan Rafizi,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan peranan Setiausaha Akhbar Menteri, Unit Komunikasi Korporat (UKK) KPM serta pimpinan tertinggi kementerian termasuk Ketua Pengarah dan timbalan-timbalannya.
“KPM sepatutnya bergerak sebagai satu pasukan dan kumpulan.
“Apabila Rafizi mengkritik KPM, kesemua pimpinan dan bahagian KPM kena bangkit pertahankan dan bukannya membiarkan Fadhlina berseorangan menjawab,” tegas beliau.
Dr Maszlee turut menyeru agar KPM segera mengemukakan hujah dan fakta balas termasuk infografik dan penilaian pihak ketiga yang bebas bagi menepis dakwaan bahawa tiada perubahan dasar signifikan telah dilaksanakan.
“Kita tidak mahu populariti sokongan 55 peratus rakyat kepada Perdana Menteri terjejas dengan dakwaan-dakwaan tanpa dibalas dengan fakta dan hujah seperti ini,” tambahnya.