PUTRAJAYA: Malaysia dan Republik Kyrgyz melakar sejarah baru dalam hubungan dua hala apabila kedua-dua negara menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan pertukaran nota (EoN) sempena lawatan rasmi Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov ke Malaysia selama dua hari.
Perjanjian strategik itu mencerminkan peningkatan kerjasama merentasi pelbagai bidang seperti pelancongan, kesihatan, pendidikan tinggi, transformasi digital serta keselamatan siber.
Majlis pemeteraian berlangsung di Kompleks Seri Perdana dan disaksikan oleh Presiden Zhaparov serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tiga MoU yang melibatkan pelancongan, transformasi digital, keselamatan siber dan perdagangan telah ditandatangani antara Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Menteri Ekonomi dan Perdagangan Republik Kyrgyz, E. Sydykov dan Menteri Pembangunan Digital serta Teknologi Inovatif, Azamat Jamangulov.
Datuk Seri Mohamad Hasan turut menandatangani dua EoN berkaitan latihan diplomatik dan program belia serta satu surat hasrat (LoI) mengenai perjanjian bantuan perundangan dalam perkara jenayah bersama rakan sejawatnya Zheenbek Kulubaev dan Menteri Kebudayaan, Maklumat dan Dasar Belia Republik Kyrgyz, Mirbek Mambetaliev.
Dalam bidang pendidikan tinggi, MoU dimeterai antara Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Sains, Pendidikan Tinggi dan Inovasi Republik Kyrgyz, Baktyar Orozov.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan rakan sejawatnya, Erkin Checheibaev menandatangani MoU bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan.
Turut dimeterai ialah dua lagi MoU antara Institut Inisiatif Strategik Nasional (NISI), di bawah Presiden Republik Kyrgyz dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) serta antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perniagaan serta Perindustrian Republik Kyrgyz.
Prof Datuk Dr Mohd Faiz Abdullah mewakili ISIS Malaysia manakala Menteri Kehakiman Kyrgyz, Aiaz Baetov hadir bagi pihak NISI.
Dalam pada itu, Datuk Seri N. Gobalakrishnan menandatangani MoU bagi pihak NCCIM dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kyrgyz, Temir Sariev mewakili negaranya.