PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan lucut hak harta termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta yang dikatakan milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan kes itu sudah selesai dan pihaknya kini tertumpu kepada permohonan melucut hak terhadap harta yang dirampas dan disita SPRM sebelum ini.

“Kita (SPRM) sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan pihak terbabit bersetuju untuk memfailkan kes itu dalam tempoh dua minggu selepas semua permohonan termasuk afidavit disediakan.
“Dalam masa terdekat kita mencadangkan permohonan untuk melucut hak wang kira-kira RM170 juta yang diperoleh hasil siasatan SPRM.
“Namun terpulang kepada beliau (Ismail Sabri) sekiranya ingin mencabar permohonan itu nanti,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Terdahulu, SPRM menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan merampas 16 kilogram (kg) jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta dalam siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Perdana Menteri ke-9 itu.
Wang tunai yang dirampas itu meliputi nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan.
Ia adalah hasil pemeriksaan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai rumah selamat susulan penahanan empat individu.
Susulan itu, Ismail Sabri beberapa kali dipanggil hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan pengisytiharan harta susulan dakwaan terbabit rasuah.
Beliau berdepan siasatan berhubung isu rasuah serta pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program yang dijalankan kerajaan.
Dakwaan salah laku itu dibuat semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Bagaimanapun, Azam berkata, buat masa ini belum ada pertuduhan jenayah akan dibuat terhadap Ismail Sabri.
“Berhubung sebarang pertuduhan jenayah belum lagi diputuskan dan menunggu daripada pihak TPR,” katanya.
Ditanya mengenai tujuan SPRM mengambil keterangan bekas menantunya iaitu Datuk Jovian Mandagie, beliau berkata, pereka fesyen terbabit adalah saksi bagi siasatan kes berkenaan.
Baca juga: