RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam usaha mencapai perjanjian damai menyeluruh dengan Israel, lapor agensi berita Anadolu hari ini.
Dalam sepucuk surat kepada Trump, Abbas melahirkan penghargaan mendalam atas usaha presiden itu dalam menjayakan gencatan senjata antara Israel dan Iran, seperti dilaporkan agensi berita rasmi Palestin, WAFA.
Abbas menyifatkan gencatan senjata tersebut sebagai “langkah penting dan perlu” bagi meredakan krisis yang melanda dunia, serta memberi kesan positif terhadap keselamatan dan kestabilan rantau Asia Barat.

Gencatan senjata itu diumumkan Trump pada Isnin lalu selepas 12 hari pertempuran udara antara dua musuh utama rantau tersebut.
Presiden Palestin itu turut menyatakan bahawa gencatan senjata di Gaza akan menjadi langkah tambahan penting dalam usaha Trump mencapai perdamaian yang adil dan menyeluruh antara Palestin, Israel serta masyarakat antarabangsa.

Beliau menzahirkan komitmen untuk bekerjasama bukan sahaja dengan Trump, tetapi juga dengan Arab Saudi dan komuniti antarabangsa bagi menunaikan janji perdamaian yang akan membawa keselamatan dan kestabilan sejagat.
“Dengan anda, kita mampu capai perkara yang sebelum ini tampak mustahil – sebuah Palestin yang diiktiraf, merdeka, berdaulat dan selamat; Israel yang diiktiraf dan selamat; serta sebuah rantau yang menikmati keamanan, kemakmuran dan integrasi,” kata Abbas dalam suratnya kepada Trump.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel melancarkan serangan ganas ke atas Gaza, mengakibatkan lebih 56,100 rakyat Palestin terbunuh – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak – meskipun menerima tekanan antarabangsa untuk melaksanakan gencatan senjata.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan perbicaraan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan melakukan jenayah genosid ke atas penduduk Gaza.
Baca juga: