PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya, yang bakal menyediakan lebih 10,000 unit rumah mampu milik untuk penjawat awam.
Beliau berkata, projek itu bukan sekadar pembangunan fizikal, sebaliknya mencerminkan cita-cita sebuah kehidupan berteraskan nilai iman, ihsan, inovasi dan kelestarian.
“Kota MADANI adalah falsafah dan cita-cita yang membawa roh pembangunan sebenar. Seperti yang disebut oleh Ibn Khaldun, kota seharusnya menjadi pusat umran hadhari – tempat bertemunya idealisme, teknologi dan nilai,” katanya dalam satu kenyataan,hari ini.
Antara kemudahan yang dirancang termasuk tadika di aras bawah, masjid berdekatan, laluan pejalan kaki ke sekolah, gimnasium serta ruang hijau yang menyantuni gaya hidup masyarakat.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan bahawa projek ini tidak sama seperti pembangunan gajah putih yang terbengkalai, sebaliknya ia akan dibiayai menerusi usaha sama kerajaan-swasta (PPP) bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan serta mempercepatkan pelaksanaan.
Katanya, projek bernilai RM4 bilion itu bukan untuk bermegah, sebaliknya satu ikhtiar membina kehidupan lebih sejahtera buat rakyat.
“Tiada komisen, tiada ketirisan. Hanya tekad untuk mempercepat, mempermudah dan menyempurnakan. Ini bukan projek peribadi Perdana Menteri, tetapi projek rakyat demi masa depan bangsa,” katanya.
Baca juga: