Agong titah jangan politikkan Agama, tetapi Islamkan politik demi negara

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini diseru untuk tidak lagi menjadikan alat politik demi kepentingan peribadi sebaliknya menjadikan politik dapat dipandu dengan nilai dan prinsip syariah demi kepentingan negara.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan agar pengurusan kerajaan sewajarnya berpaksikan landasan Islam, bukan bersandarkan ideologi sekular mahupun liberal.

“Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi, tetapi mengislamkan politik demi kepentingan negara.

Ini bermaksud urus tadbir kerajaan mesti mengikut landasan syariat Islam bukannya mengikut fahaman sekular atau liberal,” titah baginda.

Baginda menyampaikan titah tersebut sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara, hari ini.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Antara para pemimpin yang hadir ialah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam pada itu, baginda juga mengingatkan agar semua pihak untuk menghormati Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam konteks perpaduan kaum dan agama.

Tegas baginda, tiada kompromi untuk mana-mana pihak yang menunggang agama untuk kepentingan parti politik.

“Jangan ada pihak yang menunggang agama untuk kepentingan parti politik mereka atau menyebarkan fitnah dan kebencian yang akan memecah belahkan masyarakat,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap pentas dakwah dan pengajaran agama yang disalah guna bagi membawa agenda politik kepartian.

“Sejak dulu saya sentiasa tegaskan pentas dakwah dan medan pengajaran agama Islam tidak wajar dijadikan tempat untuk agenda parti politik.

Marilah kita menjaga kesucian agama Islam dan membentuk penyatuan ummah yang harmoni, kerana Islam adalah agama persaudaraan dan perdamaian,” titah baginda lagi.

Anda Mungkin Berminat