Kerajaan Salur RM10,000 Kepada Keluarga Mangsa Nahas Bas UPSI

JERTEH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi inisiatif Ziarah Kasih KPT Prihatin hari ini menzahirkan solidariti terhadap keluarga mangsa nahas bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa hampir RM1.7 juta berjaya dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk individu, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.

“Sumbangan ini akan disalurkan kepada semua mangsa mengikut kategori iaitu RM10,000 bagi keluarga pelajar yang terkorban dan RM5,000 bagi pelajar yang cedera.

“Agihan sumbangan ini akan diselaraskan oleh pihak UPSI bersama Ketua Setiausaha KPT dan akan dipercepatkan pelaksanaannya,” katanya dalam satu hantaran KPT.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk menyiasat insiden tersebut secara menyeluruh termasuk aspek pengurusan pengangkutan pelajar dan kemungkinan kecuaian pemandu.

“Kita tidak boleh berdiam diri terhadap tragedi yang meragut 15 nyawa ini.

“Langkah-langkah tegas perlu diambil agar kejadian seumpama ini tidak berulang.

“KPT juga sedang meneliti cadangan berkaitan larangan perjalanan waktu malam serta penggunaan perkhidmatan bas luar oleh pelajar dan akan mengeluarkan garis panduan baharu dalam masa terdekat,” jelasnya.

Program ziarah hari ini menyaksikan Dr Zambry mengunjungi lima kediaman mangsa di sekitar Jerteh termasuk keluarga Allahyarhamah Nurly Syahirah Azman (Kg. Gong Pasir Kerandang) dan Allahyarhamah Nor Ayuni Maslan (Felda Tenang), yang kedua-duanya terkorban dalam insiden tersebut.

Turut diziarahi ialah pelajar yang cedera iaitu Tuan Adham Tuan Adnan (Kampung Alur Keladi), Nik Khairulnisa Ruzmi (Taman Durian Bongkok), dan Nurul Farhana Ab Aziz (Kampung Padang Luas).

Turut serta dalam lawatan itu ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Anesee Ibrahim; Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan Naib Canselor dari UPSI, UMK, UniSZA dan UMT.

Dr Zambry juga menegaskan komitmen untuk memperkukuh keselamatan pelajar melalui penambahbaikan prosedur perjalanan dan pemantauan logistik.

“Kita mahu supaya selepas ini tiada lagi pengabaian terhadap tanggungjawab menjaga keselamatan pelajar dan kita akan pastikan sebarang kelemahan ditangani secara menyeluruh,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat