Kerajaan Tegas Tolak Campur Tangan Badan Kehakiman

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah dan tidak akan mencampuri urusan badan kehakiman, sebaliknya komited menghormati proses, kedudukan dan kebebasan institusi berkenaan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, isu pelantikan atau penyambungan tempoh perkhidmatan penjawat awam termasuk hakim, tidak wajar dijadikan polemik politik atau dipengaruhi sentimen mana-mana pihak.

“Bagi mana-mana penjawat awam atau hakim, apabila tiba waktu persaraan, ada prosedur tertentu yang perlu dipatuhi.

“Tempoh persaraan itu tidak automatik, apabila bersara ia tidak terus disambung secara automatik,” katanya.

Anwar turut meluahkan rasa kurang senang terhadap kempen-kempen yang mendesak supaya tempoh perkhidmatan dilanjutkan atau dihentikan yang menurutnya telah mencemari kebebasan institusi kehakiman.

“Dalam isu ini saya menerima pelbagai teguran. Malah ada satu kempen mesti sambung, jangan sambung. Ini mana boleh jadi?

“Institusi yang sepatutnya memiliki integriti dan bebas sudah dipolitikkan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), pagi tadi.

Anda Mungkin Berminat