Tan Sri Hamidin Mohd Amin Dilantik Presiden Kehormat FAM

PETALING JAYA: Kongres Luar Biasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 2025 hari ini sebulat suara meluluskan pelantikan mantan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat FAM sebagai menghargai lebih tiga dekad sumbangannya dalam memajukan bola sepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

FAM dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan Artikel 22 Statut FAM yang membolehkan individu yang pernah memegang jawatan Presiden dan telah menunjukkan sumbangan cemerlang, dilantik sebagai Presiden Kehormat menerusi pencalonan Jawatankuasa Eksekutif.

“Sebagai Presiden Kehormat, Hamidin akan berperanan sebagai penasihat strategik, menghadiri mesyuarat penting, mewakili FAM di peringkat antarabangsa serta menjalankan tanggungjawab tambahan mengikut keperluan semasa.

“Beliau dikenang sebagai arkitek utama dalam transformasi bola sepak negara termasuk kejayaan skuad kebangsaan layak ke Piala Asia 2023, pelancaran Peta Hala Tuju F:30 dan pembinaan Wisma FAM serta Pusat Latihan Kebangsaan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, katanya, Hamidin turut menyandang pelbagai jawatan penting di pentas antarabangsa termasuk dalam FIFA, AFC dan AFF, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam komuniti bola sepak dunia.

Pelantikan ini menjadikan beliau tokoh kedua menerima gelaran tersebut selepas Almarhum Sultan Ahmad Shah pada 2014.

Dalam perkembangan berkaitan, Kongres turut meluluskan pelantikan pengerusi dan ahli bagi tujuh Jawatankuasa Bebas FAM untuk penggal 2025–2029 termasuk Jawatankuasa Tatatertib, Rayuan dan Audit.

Anda Mungkin Berminat