Sambutan Hari Malaysia 2025 Akan Diadakan di Pusat Konvensyen PICCA, Pulau Pinang – Fahmi

PETALING JAYA: Pulau Pinang bakal menjadi pusat tumpuan negara apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi Sambutan Hari Malaysia 2025 yang dijadual berlangsung pada 16 September depan di Pusat Konvensyen PICCA.

Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Induk di Pejabat Ketua Menteri di KOMTAR bagi meneliti persiapan yang sedang giat dijalankan.

Sambutan tahun ini mengangkat tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, menggambarkan komitmen kerajaan untuk mendahulukan rakyat pelbagai latar belakang dalam semangat perpaduan dan kebersamaan.

Mesyuarat tersebut menyentuh aspek penting seperti logistik, keselamatan, kandungan program dan penglibatan komuniti agar sambutan kali ini bukan sahaja meriah tetapi memberi kesan bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HKHM 2025, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Long yang mempengerusikan Jawatankuasa Kerja Bersama HM 2025.

Menurut Zulkifli, tema sambutan tahun ini membawa mesej jelas bahawa rakyat adalah nadi utama dalam setiap dasar dan agenda pembangunan negara, selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI.

“Sambutan ini turut dimeriahkan dengan pelbagai program sisipan yang bertujuan menyuntik semangat cinta akan negara dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Untuk info, sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan diadakan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya.

Anda Mungkin Berminat