Disyaki Angkara Khianat, 5 Kereta Mewah Hangus Terbakar

SAUJANA PUTRA: Lima buah kereta mewah milik seorang lelaki musnah terbakar dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat oleh empat individu tidak dikenali di Gemala Residen, Bandar Tropicana, Aman Bandar, Saujana Putra, awal pagi Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Mohd Akmalrizal Radzi, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar pukul 6:45 pagi daripada pemilik kenderaan terbabit.

“Pihak Polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Khianat menggunakan api) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum empat belas tahun atau denda atau keduanya sekali, jika disabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, ketika kejadian berlaku, pemilik kenderaan iaitu seorang lelaki India Muslim bersama ahli keluarganya tidak berada di rumah.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati empat suspek lelaki yang bangsa belum dikenal pasti telah membakar kenderaan milik mangsa.

Tambahnya, kebakaran turut menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan rumah mangsa dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah sekurang-kurangnya RM1.6 juta.

“Pihak polis sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek yang terlibat.

“Pihak polis menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis,” ujar beliau lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan mengunjungi balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222.

Anda Mungkin Berminat