MUSIM ketiga dan terakhir siri popular Korea Selatan, Squid Game, mencipta sejarah apabila mencatatkan pelancaran rancangan televisyen paling berjaya dalam sejarah Netflix.
Dalam tempoh tiga hari pertama tayangan, musim baharu ini meraih lebih 60.1 juta tontonan, bersamaan lebih 368.4 juta jam tontonan sekali gus memecahkan rekod terdahulu bagi jumlah tontonan tertinggi dalam tempoh yang sama.
Berbanding dengan musim kedua, siri berkenaan mencatat 68 juta tontonan dalam tempoh empat hari ketika dilancarkan pada Disember lalu.
Setakat ini, musim ketiga telah menduduki tangga kesembilan sebagai bukan berbahasa Inggeris paling popular di Netflix, manakala musim pertama dan kedua terus mengungguli dua kedudukan teratas dalam kategori yang sama.
Walaupun menerima pelbagai ulasan, kritikan terhadap musim baharu ini secara umumnya cenderung kepada ulasan yang positif.

Pengulas hiburan The Guardian, Rebecca Nicholson, menyifatkannya sebagai “tidak seganas musim-musim terdahulu”, namun tetap mengekalkan kekuatan dari segi ketegangan dan naratif.
Meskipun diumumkan sebagai musim terakhir, terdapat spekulasi bahawa pengarah tersohor Hollywood, David Fincher, kini sedang merancang untuk menghasilkan versi adaptasi berbahasa Inggeris.
Fincher sebelum ini pernah bekerjasama dengan Netflix menerusi beberapa projek terkenal seperti House of Cards, Mank, dan filem aksi The Killer lakonan Michael Fassbender.
Netflix turut memperluas jenama Squid Game menerusi rancangan realiti Squid Game: The Challenge, yang mencatatkan kejayaan besar dan kini dalam penggambaran bagi musim kedua.
Sementara itu, pencipta siri asal, Hwang Dong-hyuk, dalam satu wawancara bersama Variety, memaklumkan bahawa beliau belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai projek adaptasi tersebut.
Namun begitu, beliau bersedia menyumbang idea sekiranya diperlukan, selagi tidak mengganggu komitmen terhadap projek lain yang sedang dijalankan.
Baca juga: