Malaysia – Itali perkukuh kerjasama strategik, fokus pertahanan dan tenaga

ROM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Republik Itali, Antonio Tajani di ibu negara itu hari ini bagi memperkukuh hubungan Malaysia–Itali.

Pertemuan itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam memperluas kerjasama strategik merangkumi pelbagai bidang, berlandaskan prinsip saling menghormati dan kepentingan bersama.

“Kami turut membincangkan usaha mempererat hubungan Malaysia serta ASEAN dengan Kesatuan Eropah (EU), selain bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global seperti konflik di Gaza, situasi di Ukraine dan ketegangan di Asia Barat yang melibatkan Iran dan Israel,” kata Anwar.

Mengiringi lawatan rasmi itu, Anwar juga mengetuai delegasi Malaysia dalam sesi libat urus bersama pemain industri utama Itali melibatkan sektor strategik seperti pertahanan dan tenaga.

Antara syarikat yang ditemui termasuk Fincantieri dan Leonardo iaitu dua syarikat gergasi pertahanan Itali yang menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025.

“Saya tekankan pentingnya pendekatan antara kerajaan (G2G) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengadakan pertemuan bersama syarikat tenaga Itali, ENI, bagi membincangkan kerjasama bersama PETRONAS dan meneroka peluang pelaburan baharu yang boleh dimanfaatkan secara bersama.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan diyakini, dan menyeru agar komitmen mestilah disusuli pelaksanaan konkrit agar pelaburan dapat direalisasikan mengikut tempoh ditetapkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat