PELAKON terkenal, Datuk Aaron Aziz menawarkan peluang buat bekas banduan dan pelajar Sekolah Henry Gurney untuk menyertai sesi uji bakat lakonan bagi projek terbaharu terbitan syarikat produksinya sendiri.
Menerusi satu hantaran video di Instagram, Aaron, 49, menyuarakan komitmennya untuk membantu golongan yang sering berdepan stigma masyarakat agar diberikan peluang kedua membina kehidupan lebih baik.
“Inilah peluang anda untuk buktikan yang anda boleh bangkit. Pernah duduk penjara? Pernah di Henry Gurney? Jangan biarkan orang terus kata masa depan anda sudah hancur.
“Saya akan bantu anda. Datang ke sesi uji bakat projek baharu saya,” katanya dalam video berdurasi satu minit itu.

Sesi uji bakat tersebut akan berlangsung pada Jumaat ini, 5 Julai dari jam 1 tengah hari hingga 9 malam di Star Avenue Lifestyle Mall, Shah Alam.
Uji bakat itu terbuka kepada lelaki berusia antara 16 hingga 50 tahun, tanpa mengira bangsa atau latar belakang. Peserta hanya diminta membawa sekeping gambar berukuran passport.
Dia turut menekankan pentingnya memberi peluang kedua kepada individu yang pernah melalui kesilapan silam agar mereka tidak terus terpinggir daripada masyarakat.
Tindakan Aaron itu turut mendapat pujian warga maya yang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai usaha inklusif yang patut dicontohi ramai, sekali gus memberi harapan kepada mereka yang ingin berubah dan menyumbang kembali kepada masyarakat secara positif.
Baca juga: