Konsert CIPTA 3 M. Nasir: Peminat Berpeluang Menang Harley Davidson Bernilai RM114,000

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Datuk M. Nasir bakal menggamatkan Axiata Arena sekali lagi menerusi Konsert DATO’ M N46IR CIPTA 3 dan peminat bertuah bakal pulang bukan hanya dengan kenangan manis tetapi juga sebuah motosikal mewah Harley Davidson lengkap insurans Etiqa, bernilai RM114,000.

Dikenali sebagai Sang Maestro Legenda Negara, Datuk Dr M. Nasir akan menghidupkan kembali tema ikonik “Malam Ini Gua Rock”, suatu momen nostalgia yang dinantikan peminat setianya.

Bertemakan ‘Rock Cara Lu, Janji Rock’, para penonton digalakkan tampil dalam gaya rock tersendiri sebagai simbol kebebasan dan ekspresi kreatif.

Meskipun enggan berkongsi sepenuhnya pengisian konsert, M. Nasir memberi bayangan malam itu akan menampilkan deretan lagu-lagu rock ciptaan dan nyanyiannya yang meninggalkan impak besar dalam jiwa pencinta seni tanah air.

Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, laman jualan tiket mengalami kesesakan luar biasa apabila lebih 300, 700 pengunjung menyerbu portal tersebut sejurus ia dibuka.

“Ini merupakan satu kerjasama hebat antara pihak Datuk M. Nasir, Icon Entertainment, Harley Davidson dan Etiqa.

“Konsep rock yang akan dibawakan pada 27 September nanti pasti mencipta sejarah.

“Pemenang motosikal eksklusif ini akan dipilih daripada kalangan pembeli tiket sahaja, tanpa mengira kategori,” kata Iman Tang.

Kerjasama ini bukan sekadar hiburan, malah menerapkan sentuhan gaya dan inovasi.

Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans dan Takaful, Kamaludin Ahmad, turut berkongsi rasa teruja terutama dalam mendukung evolusi digital.

“Menerusi aplikasi Etiqa+, orang ramai akan diberikan akses awal kepada tiket pra-jualan konsert bermula 3 Julai 2025, selama 24 jam,” katanya.

Selain itu, katanya, Etiqa juga menyediakan kempen menarik yang membolehkan peminat memenangi tiket konsert secara percuma.

Konsert ini dijadual berlangsung pada 27 September 2025, bermula 8 malam di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

Maklumat lanjut mengenai cabutan bertuah dan perkembangan konsert boleh diperoleh melalui Instagram rasmi @iconentertainmentmy atau @datomnasircipta.

Anda Mungkin Berminat