PARIS: Dalam pertemuan bersama warga Malaysia di Perancis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa hala tuju negara yang lebih cemerlang bergantung kepada keazaman dan bakat golongan muda.
“Malaysia amat bergantung kepada bakat muda untuk mencorak masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing,” katanya dalam ucapannya kepada diaspora Malaysia.
Beliau menasihati golongan muda agar menuntut ilmu dengan penuh kesungguhan, sambil menyifatkan kejayaan dalam apa jua bidang bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu tanggungjawab untuk menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Dalam konteks pembangunan negara, Anwar menyeru agar generasi muda tampil sebagai agen perubahan yang berprinsip dan bersedia memikul amanah besar.
Pertemuan itu turut menjadi platform bagi beliau berkongsi langkah-langkah Kerajaan MADANI dalam melaksanakan pembaharuan menyeluruh, merangkumi pertumbuhan ekonomi inklusif, tadbir urus berintegriti serta keadilan sosial yang memartabatkan semua lapisan rakyat.