PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, telah dilantik untuk menjalankan kuasa dan tanggungjawab sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
Pelantikan itu dibuat menerusi surat bertarikh semalam (3 Julai 2025) oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, yang kini menjalankan kuasa dan tugas Ketua Hakim Negara.
Pelantikan tersebut dibuat selaras dengan Seksyen 9(3)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Menurut surat pelantikan itu, Zabariah akan memegang jawatan secara pemangkuan berkuat kuasa serta-merta dan akan terus menjalankan tugas tersebut sehingga jawatan itu diisi secara tetap.
Salinan surat pelantikan turut diedarkan kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli; Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Zamri Bakar serta Pendaftar Mahkamah Rayuan, Jumirah Marjuki.
Pelantikan itu susulan persaraan mantan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, yang bersara wajib semalam setelah mencapai umur 66 tahun.
Zabariah memulakan perkhidmatan kehakiman sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Januari 2009, sebelum disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 9 Ogos 2010.
Beliau kemudiannya bertugas di Mahkamah Tinggi Seremban pada 2013 dan kembali ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2016.
Pada 21 Mac 2016, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan seterusnya menyertai Mahkamah Persekutuan pada 5 Disember 2019.
Beliau mencapai usia persaraan 66 tahun pada 10 April lalu, namun menerima lanjutan perkhidmatan selama enam bulan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Pada Mac 2024, Zabariah turut dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Presiden Mahkamah Rayuan merupakan jawatan kedua tertinggi dalam badan kehakiman negara selepas Ketua Hakim Negara.