Upin & Ipin Universe Sasar Pasaran Permainan Video Antarabangsa

PETALING JAYA: Ikon animasi kebanggaan negara, Upin & Ipin, sekali lagi melakar sejarah apabila kini tampil dalam bentuk permainan video baharu bertajuk Upin & Ipin Universe, yang bakal menembusi pasaran global.

Permainan ini merupakan hasil kerjasama antara Les’ Copaque Production dan Streamline Studio serta dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 17 Julai 2025.

Ia akan tersedia di PlayStation 4 & 5, Nintendo Switch serta PC melalui Steam dan Epic Games, sekali gus menjadikannya antara IP tempatan yang pertama menembusi pelbagai platform utama dunia.

Menteri Komunikasi, Gobind Singh Deo menyifatkan pelancaran itu sebagai satu pencapaian besar dalam industri kandungan digital negara.

“Upin & Ipin telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia dengan mesej positif yang disampaikan dalam setiap episod.

“Kini, mereka melangkah lebih jauh dengan memasuki dunia permainan video yang bakal dipasarkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan itu bukan sahaja sekadar pelancaran sebuah permainan tetapi simbol kekuatan daya saing Malaysia sebagai hab permainan dan animasi serantau, selari dengan aspirasi ekonomi digital negara.

“Kita harus terus menyokong dan mengangkat industri kreatif digital.

“Ini bukti bahawa apabila kreativiti diberi ruang, Malaysia mampu mencipta sesuatu yang dibanggakan dunia,” katanya lagi.

Dengan populariti lebih sedekad, watak kembar comel itu dijangka menarik minat peminat dari dalam dan luar negara.

Gobind turut menggesa agar lebih banyak peluang dibuka untuk bakat kreatif tempatan agar mereka dapat terus berkarya dan menembusi pasaran antarabangsa.

Anda Mungkin Berminat