Malaysia-Perancis Meterai Tiga Dokumen Penting Bidang Pertahanan, Ekonomi dan Teknologi

PARIS: Malaysia dan Perancis terus memperkukuh hubungan dua hala apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, François Bayrou, menyaksikan pertukaran tiga dokumen penting yang merentasi bidang pertahanan, ekonomi dan teknologi.

Anwar berkata, antara dokumen yang dimeterai ialah perjanjian persefahaman antara Malaco Mining Sdn Bhd dan syarikat Perancis, Carester, yang disifatkan sebagai pencapaian besar dalam pembangunan industri nadir bumi Malaysia.

Katanya, kerjasama itu selari dengan komitmen negara terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta inisiatif tenaga baharu.

“Perjanjian persefahaman antara Malaco dan Carester menandakan pencapaian besar dalam pembangunan industri nadir bumi Malaysia, selari dengan komitmen ESG dan inisiatif tenaga baharu negara,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Dalam bidang pertahanan, surat tawaran kepada Thales LAS memperkukuh keupayaan pemantauan ruang udara Malaysia melalui penyediaan dua radar jarak jauh GM400α, yang mampu mengesan ancaman pada pelbagai altitud termasuk dron taktikal dan pesawat pejuang.

“Surat tawaran kepada Thales LAS pula memperkukuh keupayaan pemantauan ruang udara Malaysia menerusi dua radar jarak jauh baharu,” ujar beliau.

Sementara itu, katanya, kerjasama antara MATRADE dan Business France dijangka merancakkan promosi perdagangan dua hala dalam sektor strategik seperti aeroangkasa, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab teknologi dan inovasi serantau.

“Manakala kerjasama antara MATRADE dan Business France akan merancakkan promosi perdagangan dua hala merentasi sektor strategik seperti aeroangkasa, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital,” tambah Anwar.

Anda Mungkin Berminat