KKM Hampir Selesai Isu Masa Menunggu Lama di Hospital Kerajaan – Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini berada di fasa akhir untuk menyelesaikan masalah masa menunggu yang lama bagi pesakit mendapatkan rawatan di hospital kerajaan terutamanya kes yang melebihi enam jam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedang meneliti isu berkenaan secara menyeluruh melalui sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan sebelum mengumumkan langkah penyelesaian secara rasmi.

“Tolong beri sedikit ruang kerana ia kini di peringkat akhir,” katanya memetik laporan media tempatan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Ekspo Makanan Selamat (eMas) sempena Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia di sebuah kompleks beli-belah, di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa isu ini telah diberi perhatian sejak tahun lalu termasuk sepanjang tempoh beliau kembali menerajui kementerian.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada kekurangan tenaga kerja perubatan seperti doktor dan jururawat yang berhijrah ke sektor swasta menjadi punca utama kelewatan, beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak mahu komen lanjut kerana perkara ini telah berulang kali dijelaskan kepada media.

“Tunggu penjelasan rasmi daripada pihak kementerian,” katanya.

Anda Mungkin Berminat