SELEPAS sembilan tahun bersama, pasangan selebriti terkenal Katy Perry dan Orlando Bloom akhirnya memilih untuk berpisah.
Namun, di sebalik perpisahan itu, mereka tetap bersatu hati dalam membesarkan anak perempuan mereka, Daisy Dove, dengan penuh kasih sayang dan rasa hormat.
Perkara itu disahkan wakil mereka menerusi kenyataan kepada US Weekly, yang menekankan komitmen bersama terhadap tanggungjawab sebagai ibu bapa.
“Hubungan mereka telah melalui fasa perubahan sejak beberapa bulan lalu untuk fokus kepada ‘co-parenting’.
“Mereka akan terus dilihat bersama sebagai sebuah keluarga demi membesarkan anak perempuan mereka dengan kasih sayang, kestabilan dan saling menghormati,” jelas kenyataan itu.
Spekulasi mengenai keretakan hubungan mula timbul apabila Perry tidak kelihatan di majlis perkahwinan mewah Jeff Bezos dan Lauren Sánchez di Venice, walaupun Bloom hadir bersendirian.
Kehadiran Bloom tanpa Perry mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat.
Lebih mengundang perhatian, Bloom turut memuat naik petikan kata-kata mendalam daripada Carl Jung di Instagram.
“Kesunyian bukan kerana tiada orang di sekeliling kita tetapi kerana tidak mampu berkongsi perkara yang penting bagi diri sendiri,” tulisnya.
Pasangan ini mula menjalinkan hubungan pada tahun 2016, bertunang pada 2019, dan menyambut kelahiran anak mereka pada 2020.
Sepanjang tempoh itu, mereka sering menjadi sorotan media sebagai pasangan yang serasi dan penuh kasih.
Walaupun kisah cinta mereka telah berakhir, Perry dan Bloom tetap sepakat untuk terus memainkan peranan sebagai ibu bapa bersama secara harmoni, iaitu satu keputusan yang mencerminkan kematangan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi terhadap anak mereka.