Mengapa cukai kerajaan tak pernah cukup-cukup?

Oleh: Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff

ULASAN | Soalan ini seharusnya ditanya oleh ahli masyarakat kerana jawapannya penting bagi kita. Jika tidak, kita akan sentiasa bersangka-sangka dan tak kesemua sangkaan itu baik dan betul.

Adalah menjadi amalan bahawa kutipan cukai digunakan untuk membiayai belanja pengurusan kerajaan. Di antara belanja terbesar sekarang ialah gaji penjawat awam, pencen pesara kerajaan dan bayaran faedah dan kos hutang kerajaan.

Selepas tolak perbelanjaan-perbelanjaan di atas barulah boleh bayar pelbagai perbelanjaan lain yang kena mengena dengan kita. Semakin besar gaji, pencen dan kos hutang, semakin kuranglah peruntukan untuk lain-lain perbelanjaan yang tak kurang penting juga.

Untuk perbelanjaan modal seperti membina sekolah, hospital, mahkamah dan lain-lain seumpamanya, kerajaan akan berhutang. Untuk membayar hutang kerajaan, kerajaan akan mengambil hutang baharu.

Jika hutang baharu lebih besar dari hutang yang dibayar, jumlah hutang kerajaan akan bertambah. Hanya apabila hutang baharu lebih kecil dari hutang yang dibayar, jumlah hutang kerajaan akan berkurangan.

Seperti yang dimaklumkan di atas, apabila hutang bertambah, kos hutang juga bertambah. Malah, sekiranya kadar faedah hutang-hutang baharu lebih tinggi dari kadar faedah lama, kos hutang di dalam belanja pengurusan akan bertambah walaupun jumlah hutang tidak meningkat.

Berbalik kepada belanja pengurusan, ianya akan sentiasa bertambah kerana:

1. Jumlah perkhidmatan kerajaan yang meningkat disebabkan pertambahan penduduk seperti perkhidmatan kesihatan di hospital dan perkhidmatan pendidikan di hospital.

2. Inflasi yang ditanggung oleh kesemua ekonomi menyebabkan kos meningkat walaupun jumlah perkhidmatan tetap sama.

3. Kenaikan gaji dan pencen penjawat awam menjadikan kos gaji dan pencen semakin besar. Walaupun dan pencen belasan tahun, jumlah pencen akan dinaikkan sekirannya ada pelarasan gaji.

4. Pembayaran pelbagai subsidi yang jika tidak dikawal akan menjadi semakin besar memberi tekanan ke atas pengagihan perbelanjaan kerajaan.

Jadi, disebabkan faktor-faktor di atas, kutipan cukai tahunan akan sentiasa tidak cukup. Apa lagi apabila cukai di sektor tertentu berkurangan. Sebagai contoh, jika simpanan minyak dan gas semakin berkurangan, cukai dari sektor berkenaan akan berkurangan secara semula jadi.

Disebabkan nisbah cukai kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia adalah di antara yang terendah di dunia, kerajaan sentiasa menghadapi tekanan untuk membesarkan asas cukai dan menaikkan kadar cukai.

Sebelum peminat-peminat GST nak cadangkan supaya GST diperkenalkan balik, saya nak ingatkan cukai ni, tak kira jenis dan nama dia, akan dibayar oleh perniagaan, orang yang ada pendapatan dan orang yang berbelanja. Pi mai, pi mai, tang tu juga.

Perniagaan yang membayar cukai yang lebih tinggi mungkin akan menaikkan harga untuk mengekalkan kadar keuntungan atau kadar pulangan modal. Jika cukai ke atas orang perseorangan tak dinaikkan pun, mereka mungkin membayar cukai secara tidak langsung melalui kenaikan harga.

Ada 3 perkara yang kurang diberikan perhatian oleh masyarakat di dalam diskusi berkenaan kos kehidupan mereka dan cukai:

1. Pentingnya ekonomi dibesarkan agar asas cukai semakin besar.

2. Usaha menaikkan pendapatan rakyat adalah lebih utama dari menghalang kos dari naik kerana nisbah upah kepada KDNK kita juga rendah. Ini bermaksud, majikan kecil dan besar, enggan untuk membayar gaji yang sepadan dengan gaya hidup kita sekarang.

3. Kerajaan perlu bayar RM1 bagi apa sahaja yang nilainya RM 1. Di sinilah peranannya tata kelola dan integriti.

Apa yang saya kongsikan ini mungkin tidak cukup komprehensif untuk menerangkan berkenaan kaedah dan kedudukan perbelanjaan kerajaan. Namun, jika saya tak cuba, tak ramai orang yang nak terangkan. Ini penting bagi saya kerana tanpa kefahaman yang betul, kita akan jadi marah-marah dan tekanan darah kita akan naik. Bahaya tu.

***Penulis adalah ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan pernah menjawat jawatan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat