Hormati cadangan RCI tapi kerangka perlembagaan perlu dipatuhi – Mujahid

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan ketua-ketua hakim kanan lain perlu ditangani secara harmoni dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, walaupun terdapat kritikan dan gesaan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan berhubung kelewatan pelantikan itu, semua pihak harus memahami proses dan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

“Pelantikan Ketua Hakim Negara berada di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, seperti termaktub dalam Perkara 122B(1) Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid berkata, peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Judicial Appointments Commission, JAC) juga perlu difahami, kerana badan itu mencadangkan nama-nama calon kepada Perdana Menteri berdasarkan prosedur sedia ada.

Menurut beliau, kelewatan pelantikan yang berlaku bukan satu pelanggaran undang-undang, sebaliknya perlu dilihat sebagai proses perundingan antara institusi.

“Kita hormati pandangan yang mencadangkan RCI, tetapi sebelum itu kita perlu meminta penjelasan daripada pihak berwajib dan mengkaji sama ada pendekatan lain lebih sesuai,” katanya lagi.

Tambah beliau, terdapat keperluan untuk meneliti dan memperbaiki semula kaedah kerja Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman agar proses pencalonan dan perkenan dapat dilakukan dengan lebih tersusun.

“Kita perlu harmonikan antara kuasa, antara keputusan, dan di sinilah pentingnya semangat berunding dalam kerangka Perlembagaan dan keharmonian institusi,” ujarnya.

Mujahid turut mengingatkan agar semua pihak mengelak membuat kesimpulan terburu-buru yang boleh menjejaskan persepsi terhadap institusi kehakiman dan institusi diraja.

Beliau berkata, sebagai ahli legislatif yang pernah berkhidmat di Dewan Rakyat dan kini di Dewan Negara, pandangannya bersandarkan kepada prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan yang harus sentiasa dihormati.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli bersama lapan lagi MP PKR mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat