PETALING JAYA: Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, memperkenalkan tema utama “Memperteguh Kesepaduan, Memetakan Masa Depan ASEAN ke 2045” sebagai komitmen memperkukuh perpaduan serantau dalam landskap global yang semakin mencabar.
Dalam satu hantaran di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan ASEAN bukan lahir dari keselesaan tetapi daripada cabaran dan semangat dialog yang kini menjadi tonggak kerjasama rantau ini.
“Kita tidak boleh tunduk kepada retorik kuasa besar atau prinsip yang berubah mengikut kepentingan.
“ASEAN harus kekal sebagai wahana berprinsip yang memperjuang keadilan, kedaulatan undang-undang dan suara warga tertindas,” katanya.
Anwar berkata, ketika dunia bergolak dari Gaza ke Ukraine, Myanmar hingga Timur Tengah, Malaysia menyeru agar ASEAN menjadi suara yang lantang dan bebas serta tidak dikongkong oleh kepentingan luar mahupun tekanan geopolitik.
Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh kekuatan dalaman ASEAN termasuk meningkatkan perdagangan intra-rantau, meluaskan pelaburan rentas sempadan dan mempercepat penyelarasan agenda ekonomi serantau.
“Integrasi ekonomi serantau bukan lagi satu pilihan tetapi suatu keperluan strategik demi ketahanan dan daya saing bersama,” katanya.
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa sepanjang tempoh pengerusiannya, ASEAN akan mengekalkan suara kolektif dan keazaman bersama dalam menentukan nasib rantau ini.
“Ini bukan sahaja iltizam Malaysia tetapi ini adalah suara ASEAN,” ujarnya.
Untuk info, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) bagi kali kelima, setelah menjadi pengerusi pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015 bagi memperkukuh peranannya sebagai pemimpin serantau yang berwibawa dan konsisten.








