Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Dua negara dari rantau Amerika Latin, Uruguay dan Algeria, secara rasmi menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), mencipta satu lagi detik bersejarah dalam hubungan diplomatik global.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan penyertaan kedua-dua negara itu sebagai langkah penting ke arah memperkukuh hubungan strategik antara ASEAN dan Amerika Latin serta Afrika Utara.
“Penyertaan Uruguay dan Algeria ke dalam TAC merupakan satu detik bersejarah.
“Sejak digubal pada tahun 1976, TAC telah menjadi asas kepada hubungan antara negara secara aman di Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Menandatangani Instrumen Penyertaan kepada TAC oleh Menteri Luar Algeria, Ahmaed Attaf dan Menteri Luar Uruguay, Mario Lubetkin bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Mohamad Hasan berkata, TAC memainkan peranan penting dalam lanskap geopolitik serantau yang sentiasa berubah dan mencerminkan komitmen ASEAN terhadap nilai-nilai asas seperti keamanan, kestabilan dan penglibatan konstruktif.
“Dengan menyertai TAC, Algeria dan Uruguay telah menunjukkan komitmen teguh mereka terhadap prinsip-prinsip ini.
“Mereka telah beriltizam untuk menegakkan nilai-nilai yang diperlukan bagi memupuk dialog, saling menghormati dan kewujudan bersama secara aman dalam dunia yang semakin kompleks dan saling berhubung,” ujarnya.
Beliau turut berkata, perluasan kerjasama ASEAN merentasi benua menjadi bukti kekukuhan organisasi tersebut sebagai rakan global yang relevan dan aktif.
“Pada hari ini, ASEAN mengukuhkan jalinan dengan Amerika Latin dan Afrika Utara, dua rantau yang berkongsi aspirasi kita terhadap keamanan, kemakmuran, dan pembangunan mampan.
“Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC akan membuka laluan kepada kerjasama yang lebih mendalam dan pemahaman yang lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau ini,” katanya.
Mohamad Hasan menyeru agar komitmen untuk memperkukuh pendekatan ASEAN yang berpandangan ke luar terus diperkasa melalui kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama.
“Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan kedua-dua negara di bawah kerangka TAC, dalam semangat persahabatan, hormat-menghormati, dan kewujudan aman,” ujarnya.