Penurunan OPR Tingkat Keyakinan Terhadap Ringgit, Beri Galakan Rakyat Berbelanja – Penganalisis

Oleh: Nadhirah Akmam

PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas baru-baru ini dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi domestik, selain meningkatkan keyakinan terhadap ringgit dan menggalakkan perbelanjaan rakyat.

Menurut, Ketua Penganalisis Ekonomi, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan, langkah tersebut akan memberi kelegaan kepada peminjam sedia ada yang menggunakan pembiayaan kadar berubah, kerana kadar bayaran bulanan mereka akan diselaras mengikut kadar OPR semasa yang lebih rendah.

“Penjimatan ini secara langsung menyumbang kepada peningkatan pendapatan boleh guna isi rumah, yang kemudiannya akan diterjemahkan kepada peningkatan dalam permintaan domestik, khususnya dalam aspek penggunaan dan pelaburan firma,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Afzanizam turut menjelaskan bahawa kesan terhadap mata wang negara setakat ini masih dalam keadaan stabil, dengan pergerakan ringgit berbanding dolar AS kekal dalam jajaran sempit sekitar RM4.24 hingga RM4.25, mencerminkan reaksi pasaran yang terkawal terhadap perubahan kadar dasar monetari.

“Sebaliknya, langkah ini sepatutnya meningkatkan keyakinan terhadap ringgit kerana ia menunjukkan keprihatinan pihak berkuasa terhadap cabaran ekonomi global seperti tarif Amerika Syarikat dan ketegangan geopolitik,” tambahnya.

Menyentuh soal jangka panjang, beliau menjelaskan bahawa kadar OPR bersifat fleksibel dan tidak kekal pada satu tahap tertentu. Sebagai contoh, semasa pandemik COVID-19, OPR diturunkan serendah 1.75 peratus sebelum dinaikkan secara berperingkat ke paras peratus apabila ekonomi mula pulih.

Dalam usaha menyokong aktiviti pembiayaan, BNM sebelum ini turut melaksanakan dasar pengurangan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas pada Mei lalu, yang menyuntik kecairan sekitar RM19 bilion ke dalam sistem kewangan negara.

“Dari sudut fiskal pula, saya berpendapat kerajaan perlu mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan seperti yang dirancang dalam Belanjawan 2025 bagi merangsang pertumbuhan ekonomi. Gabungan antara dasar monetari dan fiskal ini akan memberi impak pengganda yang lebih besar terhadap ekonomi negara,” katanya lagi.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).

Anda Mungkin Berminat