Tiada Syarikat Teknologi Dapat Atasi Undang-Undang – Fahmi

GENEVA: Tiada mana-mana syarikat teknologi walau sebesar mana sekalipun yang boleh mengatasi undang-undang sesebuah negara, tegas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Kenyataan tegas itu disampaikan ketika beliau menjadi panel dalam sesi ‘Leader’s Talk’ bertajuk ‘Fokus Menuju Dunia Terhubung yang Lebih Selamat: Strategi Kolaboratif untuk Memperkukuh Kepercayaan Digital dan Ketahanan Siber’, sempena acara WSIS+20 High-Level Event yang berlangsung di Geneva, Switzerland.

“Tiada syarikat teknologi, walau sebesar mana pun, berada di atas undang-undang.

“Setiap negara berdaulat berhak menggubal dan menegakkan undang-undang mereka sendiri, demi keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat,” kata beliau.

Dalam sesi tersebut, Fahmi turut menzahirkan rasa bangga atas peranan aktif Malaysia dalam memperkukuh keselamatan digital di peringkat serantau.

“Malaysia bangga memainkan peranan utama dalam merangka Garis Panduan ASEAN mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab.

“Ini satu langkah penting ke arah ruang dalam talian yang lebih selamat dan menghormati prinsip pemusatan ASEAN,” ujarnya.

Penyertaan Malaysia dalam forum berprestij ini mencerminkan komitmen negara untuk terus memperjuangkan ekosistem digital yang selamat, bertanggungjawab dan berteraskan kedaulatan undang-undang.

Anda Mungkin Berminat