PUTRAJAYA: Hubungan dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) terus diperkukuh apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, dalam satu pertemuan yang mencerminkan komitmen bersama untuk melonjakkan hubungan ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.
Pertemuan berprofil tinggi itu membuka ruang kerjasama lebih luas dalam pelbagai bidang strategik termasuk pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan dan pendidikan.
“Pertemuan ini membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan serta pendidikan.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak termasuk situasi di Palestin, Ukraine dan Myanmar,” kata Perdana Menteri dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap pelaksanaan tarif import 25 peratus oleh AS seperti yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump.
“Malaysia berpandangan tindakan unilateral sedemikian menjejaskan aliran perdagangan bebas dan boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi serantau, khususnya negara dagang seperti Malaysia,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan pentingnya ruang rundingan terus dibuka bagi memastikan keputusan perdagangan yang adil dan tidak menindas negara membangun.
“Saya menyatakan pendirian bahawa ruang rundingan harus terus dibuka bagi menjamin keputusan perdagangan yang adil, saksama dan tidak menindas negara membangun,” katanya.
Sebagai tanda komitmen berterusan terhadap hubungan dua hala, Perdana Menteri turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
“Malaysia kekal yakin bahawa kerjasama erat dengan AS bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan,” ujar beliau.