PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan pengecualian pelaksanaan waktu bekerja syif selama 45 jam seminggu kepada 82,637 petugas kesihatan, sebagai langkah prihatin terhadap kebimbangan yang dibangkitkan oleh warga kerja sektor tersebut.
Keputusan itu dibuat selepas penelitian rapi terhadap keperluan operasi serta hakikat tugas kritikal yang digalas oleh petugas barisan hadapan kesihatan, yang saban hari berdepan cabaran menyelamatkan nyawa pesakit tanpa mengira waktu.
“…memaklumkan bahawa tanggungjawab yang digalas oleh kumpulan ini memerlukan tahap kesiapsiagaan fizikal, mental dan emosi yang tinggi, dan sewajarnya diberi pertimbangan khas,” kata Jabatan Perkhidmatan Awam dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang mengutamakan ihsan dan kebajikan dalam tadbir urus negara, Kerajaan bersetuju untuk menetapkan waktu bekerja syif kepada 42 jam seminggu, khusus bagi lima skim perkhidmatan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Lima skim perkhidmatan yang terlibat ialah Jururawat, Jururawat Masyarakat, Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan, Penolong Pegawai Perubatan dan Pembantu Perawatan Kesihatan
Pengecualian ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam menjaga kebajikan penjawat awam khususnya mereka yang berada di barisan hadapan, selain memastikan mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terus berada pada tahap terbaik.
Baca juga: