SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuka siasatan terhadap program motivasi rumah tangga, eHATI, susulan dakwaan membawa doktrin bertentangan dengan ajaran Islam.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 membabitkan unsur upacara atau perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.
“Beberapa individu akan dipanggil minggu hadapan untuk bantu siasatan. JAIS turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada aduan diterima berhubung program eHATI yang dijalankan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam antara 27 hingga 30 September 2024.
Bagaimanapun, JAIS pernah menerima aduan pada 2022 daripada bekas peserta yang mendakwa terdapat unsur tidak wajar dalam modul program berkenaan.
Berikutan itu, penganjur telah dipanggil oleh Panel Pendengaran Jawatankuasa Pengawalan Akidah, Majlis Agama Islam Selangor dan diminta melakukan perubahan terhadap modul yang tidak menepati syarak.
“JAIS memandang serius hal sebegini dan akan terus membanteras aktiviti yang menyeleweng daripada ajaran Islam serta menyalahi nilai etika,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke pejabat JAIS atau menghubungi talian Hotline 1800-88-2424 bagi membantu siasatan.
Baca juga: